Katharsis mencatat sejarah peribadi buat Search dan M Nasir apabila mengambil masa selama 700 jam untuk disiapkan sepenuhnya.
Album Katharsis diterbitkan M Nasir dan ia membawa maksud satu proses penyucian, pembersihan dan pengaslian jiwa raga dalam bahasa Yunani Purba.
Katharsis adalah album studio ke-12 oleh kumpulan rock terkenal Malaysia Search. Album ini turut menampilkan beberapa komposer dan penulis lirik seperti M. Nasir, S. Amin Shahab, Usop dan Buddi Hekayat.
Album ini sangat istimewa apabila digarap khas buat tiga generasi pengikut tegar mereka, apatah lagi ia mengimbau semula kegemilangan Fenomena yang sarat roh rock hingga menjadi album terlaris.
Katharsis adalah album yang “berat” pengisiannya, penuh emosi dan ghairah. Secara peribadi, Search sudah melepasi zaman rock n roll darah muda, penuh keriangan ala Kepala Angin mahupun Mat Rock. Katharsis menyingkap lembaran Search yang sudah melalui pelbagai rintangan dunia, patah hati, tanggungjawab cinta dewasa juga persahabatan yang tulus.